ILMU umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah,tadahlah dengan hati yang merendah kepada ALLAH

Isnin, 18 Mac 2013

MASALAH TATABAHASA: PENGGUNAAN pada dan kepada


KATA sendi nama pada digunakan dalam ayat untuk menunjukkan beberapa tujuan, iaitu untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat; dan digunakan juga dalam ungkapan ada + pada  (untuk manusia dan haiwan).


 Untuk menunjukkan keterangan waktu, antara contoh penggunaannya dalam ayat:


1.     Dia tidak sedarkan diri pada masa itu

2.     Pemergiannya ke Mekah pada tahun ini.

3.     Kebakaran pada malam itu, satu tragedi bagi keluarganya.


Ayat contoh yang menunjukkan penggunaan pada untuk tempat bagi perbuatan sesuatu kerja ialah


1.     Lukislah rajah separuh bulatan pada kertas putih ini.

2.     Tali sabut pada batang pokok itu lapuk.

3.     Maklumat itu ditampal pada papan kenyataan.


Kata sendi nama pada apabila didahului oleh perkataan ada mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan.  Contohnya:


1.     Wang itu ada pada ayah.

2.     Subang berlian itu ada pada kakak.

3.     Sifat liar ada pada  setiap binatang.



Harus diingat bahawa kata sendi nama pada tidak boleh digunakan untuk maksud sasaran.  Misalnya:


1.     Pada siapakah bungkusan ini hendak diserahkan?

(seharusnya: Kepada siapakah bungkusan ini hendak diserahkan?)

1.     Kecurian itu mesti dilaporkan pada polis.

(seharusnya: Kecurian itu mesti dilaporkan kepada polis).


 Dalam ayat 10 dan 11, kata sendi nama pada  tidak boleh saling bertukar ganti dengan kata sendi nama kepada kerana padatidak digunakan untuk maksud sasaran.


 Sebagai hasil perkembangan bahasa Melayu, kata sendi nama pada dapat digunakan juga dalam bentuk-bentuk ungkapan seperti yang berikut:


1.     Pada saya, kelincahannya bermain sangat mengagumkan.

2.     Kisah itu hanya cerita karut sahaja pada pandangan saya.


Kata sendi nama kepada  ialah kata sendi yang terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan tiga perkara, iaitu


1.     menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, dan institusi yang ada   kaitannya dengan manusia;

2.     menyatakan pecahan; dan

3.     menyatakan perubahan keadaan.


Untuk fungsi (i), ayat contohnya adalah seperti yang berikut:

(a) Jangalah berbuat jahat kepada  orang. (sasaran manusia)

(b)     Kepercayaan kepada yang karut-marut itu masih tebal. (unsur mujarad)

(c)   Beberapa ketul daging dilemparkannya kepada  harimau itu. (sasaran haiwan)

(d)   Buku teks percuma dihantar kepada pihak sekolah. (institusi)


Bagi menunjukkan pecahan, kata sendi nama kepada digunakan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1.     Peserta kursus motivasi dibahagikan kepada tiga kumpulan.

2.     Tanah satu hektar itu dipecahkan kepada empat lot.


Seterusnya, bagi maksud menyatakan perubahan sesuatu keadaan,kepada digunakan seperti maksud dalam ayat-ayat contoh berikut:


1.     Suhu bilik ini meningkat kepada 38˚C.

2.     Perubahan daripada pendiam kepada peramah itulah sikapnya yang baharu.


Kata sendi nama kepada sering berpasangan dengan kata sendi nama daripada, seperti contoh yang berikut ini:


1.     daripada ayah kepada ibu

2.     daripada 37˚C kepada  39˚C

3.     daripada muda kepada tua


Perlulah diingat bahawa kata sendi nama kepada tidak boleh digunakan untuk tujuan merujuk tempat.  Ayat-ayat contoh (21) dan (22) yang berikut ini tidak betul tatabahasanya.


1.     Perjalanannya daripada Kajang ke Kuala Lumpur.

(seharusnya: Perjalanannya dari Kajang ke Kuala Lumpur.)

1.     Padi seguni itu dipikulnya daripada bendang kepada rumah.

            (seharusnya: Padi seguni itu dipikulnya dari  bendang ke rumah.)


Demikianlah huraian tentang cara penggunaan kata sendi nama pada dan kepada dalam ayat Bahasa Melayu.  Berhati-hatilah menggunakan kedua-dua kata sendi ini agar digunakan dengan betul dan tepat.

http://www.adap.com.my/info.php?id=137




Tiada ulasan:

Catat Ulasan