ILMU umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah,tadahlah dengan hati yang merendah kepada ALLAH

Isnin, 18 Mac 2013

MASALAH TATABAHASA: CARA BETUL PENGGUNAAN AWALAN ter-



AWALAN  ter-  ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan. 
Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.
Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.
Kata kerja (KK) dengan awalan  ter-  terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif  dan kata kerja tak transitif.   Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif,  dan  kata kerja transitif pasif.
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.
Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-.  Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:
1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.
2. Adik termakan lauk yang pedas ini.
3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.
4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan  masa dua tahun.
Kata-kata  buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun  dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja  berawalan  me-,  iaitu memakan  dan  membaca.  Semua objek yang berkenaan  terdiri daripada frasa nama belaka.
Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif  aktif berawalan  ter-  dengan kata kerja transitif aktif berawalan  me-.
Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan  ter-  berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.
Contoh:
5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.
6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.
Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan  tertewas oleh pasukan pelawat.  Dalam ayat pasif ini, struktur oleh  +  frasa nama  membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.
Kadang-kadang seluruh struktur oleh  +  frasa nama  digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan  ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya  kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya.
Contoh:
7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.
Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami.
”Kata kerja tak transitif dengan awalan  ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap.
Contoh:
8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.
9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.
10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.
Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8),  di tiang bangunan (ayat 9),  dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10)  ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.
Demikianlah huraian tentang awalan  ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan.  Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan  ter-  kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.


http://www.adap.com.my/info.php?id=1211


Tiada ulasan:

Catat Komen