ILMU umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah,tadahlah dengan hati yang merendah kepada ALLAH

Isnin, 18 Mac 2013

MASALAH TATABAHASA: CARA BETUL PENGGUNAAN AWALAN ter-



AWALAN  ter-  ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan. 
Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.
Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.
Kata kerja (KK) dengan awalan  ter-  terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif  dan kata kerja tak transitif.   Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif,  dan  kata kerja transitif pasif.
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.
Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-.  Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:
1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.
2. Adik termakan lauk yang pedas ini.
3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.
4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan  masa dua tahun.
Kata-kata  buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun  dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja  berawalan  me-,  iaitu memakan  dan  membaca.  Semua objek yang berkenaan  terdiri daripada frasa nama belaka.
Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif  aktif berawalan  ter-  dengan kata kerja transitif aktif berawalan  me-.
Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan  ter-  berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.
Contoh:
5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.
6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.
Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan  tertewas oleh pasukan pelawat.  Dalam ayat pasif ini, struktur oleh  +  frasa nama  membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.
Kadang-kadang seluruh struktur oleh  +  frasa nama  digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan  ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya  kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya.
Contoh:
7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.
Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami.
”Kata kerja tak transitif dengan awalan  ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap.
Contoh:
8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.
9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.
10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.
Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8),  di tiang bangunan (ayat 9),  dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10)  ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.
Demikianlah huraian tentang awalan  ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan.  Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan  ter-  kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.


http://www.adap.com.my/info.php?id=1211


MASALAH TATABAHASA:TATACARA PENGGUNAAN KATA ADJEKTIF BERKAITAN PERASAAN



PERKATAAN  sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.
Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti ‘akan’, ‘pada’, ‘kepada’ dan seumpamanya.
Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:
1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.
    (b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.
2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.
    (b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.
3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.
    (b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.
 4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak  dan menantunya.
    (b) Megawati amat sayang akan anak  dan menantunya.
    (c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.
Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi ‘dengan’, ‘akan’, ‘pada’ ‘kepada’ dan ‘terhadap’.
Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.
Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:
1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu.
2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.
3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.
4. (c) * Megawati amat sayangkan anak  dan menantunya.
Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.
Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.
Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.
Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:
5. Latifah rindu akan kekasihnya.
6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.
7. Rosnita merindukan kampung halamannya.
Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:
(9) *Pungguk rindukan bulan.
Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam Bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi ‘akan’.
Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat (10) Pungguk merindukan bulan.
Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.
Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.
Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:
(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.
dengan maksud ‘menyebabkan’ atau ‘menjadikan’ kanak-kanak itu takut. Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:
(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.
Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.
Makna ayat (11a) ialah bahawa ‘kanak-kanak itu takut’, sementara makna ayat (12) ialah bahawa ‘saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut’.
Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:
(13)  Saya gemarkan buah-buahan tempatan.
(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.
(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.
Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.
Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif Bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna Bahasa Melayu berbahasa persis.



http://www.adap.com.my/info.php?id=1237



MASALAH TATABAHASA: PENGGUNAAN pada dan kepada


KATA sendi nama pada digunakan dalam ayat untuk menunjukkan beberapa tujuan, iaitu untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat; dan digunakan juga dalam ungkapan ada + pada  (untuk manusia dan haiwan).


 Untuk menunjukkan keterangan waktu, antara contoh penggunaannya dalam ayat:


1.     Dia tidak sedarkan diri pada masa itu

2.     Pemergiannya ke Mekah pada tahun ini.

3.     Kebakaran pada malam itu, satu tragedi bagi keluarganya.


Ayat contoh yang menunjukkan penggunaan pada untuk tempat bagi perbuatan sesuatu kerja ialah


1.     Lukislah rajah separuh bulatan pada kertas putih ini.

2.     Tali sabut pada batang pokok itu lapuk.

3.     Maklumat itu ditampal pada papan kenyataan.


Kata sendi nama pada apabila didahului oleh perkataan ada mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan.  Contohnya:


1.     Wang itu ada pada ayah.

2.     Subang berlian itu ada pada kakak.

3.     Sifat liar ada pada  setiap binatang.



Harus diingat bahawa kata sendi nama pada tidak boleh digunakan untuk maksud sasaran.  Misalnya:


1.     Pada siapakah bungkusan ini hendak diserahkan?

(seharusnya: Kepada siapakah bungkusan ini hendak diserahkan?)

1.     Kecurian itu mesti dilaporkan pada polis.

(seharusnya: Kecurian itu mesti dilaporkan kepada polis).


 Dalam ayat 10 dan 11, kata sendi nama pada  tidak boleh saling bertukar ganti dengan kata sendi nama kepada kerana padatidak digunakan untuk maksud sasaran.


 Sebagai hasil perkembangan bahasa Melayu, kata sendi nama pada dapat digunakan juga dalam bentuk-bentuk ungkapan seperti yang berikut:


1.     Pada saya, kelincahannya bermain sangat mengagumkan.

2.     Kisah itu hanya cerita karut sahaja pada pandangan saya.


Kata sendi nama kepada  ialah kata sendi yang terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan tiga perkara, iaitu


1.     menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, dan institusi yang ada   kaitannya dengan manusia;

2.     menyatakan pecahan; dan

3.     menyatakan perubahan keadaan.


Untuk fungsi (i), ayat contohnya adalah seperti yang berikut:

(a) Jangalah berbuat jahat kepada  orang. (sasaran manusia)

(b)     Kepercayaan kepada yang karut-marut itu masih tebal. (unsur mujarad)

(c)   Beberapa ketul daging dilemparkannya kepada  harimau itu. (sasaran haiwan)

(d)   Buku teks percuma dihantar kepada pihak sekolah. (institusi)


Bagi menunjukkan pecahan, kata sendi nama kepada digunakan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1.     Peserta kursus motivasi dibahagikan kepada tiga kumpulan.

2.     Tanah satu hektar itu dipecahkan kepada empat lot.


Seterusnya, bagi maksud menyatakan perubahan sesuatu keadaan,kepada digunakan seperti maksud dalam ayat-ayat contoh berikut:


1.     Suhu bilik ini meningkat kepada 38˚C.

2.     Perubahan daripada pendiam kepada peramah itulah sikapnya yang baharu.


Kata sendi nama kepada sering berpasangan dengan kata sendi nama daripada, seperti contoh yang berikut ini:


1.     daripada ayah kepada ibu

2.     daripada 37˚C kepada  39˚C

3.     daripada muda kepada tua


Perlulah diingat bahawa kata sendi nama kepada tidak boleh digunakan untuk tujuan merujuk tempat.  Ayat-ayat contoh (21) dan (22) yang berikut ini tidak betul tatabahasanya.


1.     Perjalanannya daripada Kajang ke Kuala Lumpur.

(seharusnya: Perjalanannya dari Kajang ke Kuala Lumpur.)

1.     Padi seguni itu dipikulnya daripada bendang kepada rumah.

            (seharusnya: Padi seguni itu dipikulnya dari  bendang ke rumah.)


Demikianlah huraian tentang cara penggunaan kata sendi nama pada dan kepada dalam ayat Bahasa Melayu.  Berhati-hatilah menggunakan kedua-dua kata sendi ini agar digunakan dengan betul dan tepat.

http://www.adap.com.my/info.php?id=137




Ahad, 17 Mac 2013

TAZKIRAH





TAZKIRAH PAGI: BERKATI PAGI DENGAN 4 PERKARA

Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).

Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.

Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.

Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.

Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
tas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”

Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.

Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.

Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.

Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.

Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang
umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.

Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.

http://www.paly.my/2013/01/tazkirah-pagi-berkatilah-umur-dengan-4.html



Mukjizat di sebalik Bismillah

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM yang bermaksud Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

2. BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. (Hadith Qudsi)

3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sa kit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6. Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 ( QS.AL Muddatsir:30) .Ibnu Mas ud berkata: Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari.

7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya.

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca



Fadhilat Membaca Ayat Kursi
Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”
1.       Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”
2.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.”
3.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.”
4.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.”
5.       Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.”
6.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.”
7.       Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.”
8.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.”
9.      Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.”
10.   Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.”
11.    Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala Nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat.”
12.   Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.”
13.   Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wa jalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.”
14.   Rasullullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.”


Sumber: http://www.one-ummah.net/