ILMU umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah,tadahlah dengan hati yang merendah kepada ALLAH

Ahad, 5 Mei 2013

PUISI MELAYU TRADISIONAL



Puisi merupakan genre sastera paling awal bagi semua bangsa di dunia. Masyarakat Eropah menggunakan puisi untuk menghasilkan dua buah epik yang berjudul Iliad dan Odyssey. Masyarakat Hindu juga menggunakan puisi untuk melahirkan Mahabharata danRamayana. Kesusasteraan awal bangsa Arab tertulis di dalam bentuk puisi. Puisi-puisi yang terbaik digantung di Ka’abah pada Zaman Jahiliah. Orang Melayu berbangga dengan puisi milik mereka yang dinamakan pantun.

Puisi Melayu Tradisional yang akan kita bincangkan terbahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu: 

     i.        Puisi Melayu Tradisional Warisan Melayu; dan
   ii.        Puisi Melayu Tradisional Warisan Islam.
1. Puisi Melayu Tradisional Warisan Melayu
Puisi dalam kumpulan ini terbahagi kepada dua bentuk, iaitu: 
      i.       Terikat: Pantun dan Gurindam
     ii.       Bebas: Seloka
1.1 Pantun 

Bentuk-bentuk Pantun 
·         Bentuk-bentuk pantun yang paling popular ialah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.
·         Contoh-contohnya ialah:

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

·         Bentuk-bentuk yang lain ialah pantun enam kerat, pantun lapan kerat, dan pantun dua belas kerat.
Ciri-ciri Pantun 
              i.        Setiap baris pantun mempunyai empat hingga lima patah perkataan.
             ii.        Setiap baris mempunyai lapan hingga dua belas suku kata.
           iii.        Baris pertama dan kedua pantun empat kerat dinamakan pembayang atau sampiran.
           iv.        Dua baris kemudiannya disebut maksud.
             v.        Pantun empat kerat memakai skema rima a-b-a-b.
           vi.        Setiap rangkap pantun melengkapkan satu idea yang hendak disampaikan.
         vii.        Pantun berkait memerlukan lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan idea yang hendak disampaikan
Jenis-jenis Pantun 


Peranan dan Fungsi 
·         Pantun memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu seperti di dalam upacara meminang, majlis berbalas pantun, penghias ucapan dan sebagainya.
·         Antara fungsinya ialah mendidik, menyindir, menyatakan perasaan, menyampaikan buah fikiran dan menghibur.
1.2 Gurindam

Kata ‘gurindam’ berasal daripada bahasa Sanskrit. Genre puisi ini tergolong sebagai satu daripada Puisi Melayu Tradisional di dalam kategori bukan naratif.

Ciri-ciri gurindam ialah: 
              i.        Setiap untai mengandungi dua baris ayat.
             ii.        Baris pertama disebut syarat, manakala baris kedua disebut jawab.
           iii.        Rima hujungnya sama, iaitu a-a.
           iv.        Isinya ialah hal-hal yang berat dan serius.
             v.        Puisi bertulis.
Contoh gurindam ialah: 
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa tiada mengenal agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Peranan dan fungsi  
·         Gurindam berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk mendidik khalayak.
·         Unsur-unsur pendidikan yang diketengahkannya ialah iman dan moral yang baik.
1.3 Seloka 
Kata ‘seloka’ berasal daripada bahasa Sanskrit ‘shloka’. Puisi jenis ini digunakan di dalam epik Mahabharata dan Ramayana. Walau bagaimanapun, seloka Melayu tidak sama dengan seloka Sanskrit.

Ciri-ciri seloka ialah: 
      i.       Sejenis puisi bebas;
     ii.       Rangkapnya tidak tetap;
   iii.       Tidak tetap jumlah baris serangkap;
   iv.       Tidak tetap jumlah perkataan sebaris; dan
     v.       Ada yang berima dan ada yang tidak berima.
Contoh seloka ialah:
Baik budi emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada berkayu rumah diruntuh,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusukan.
Peranan dan fungsi
·         Seloka berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk menyindir, mengejek, bergurau senda, atau berjenaka.
2. Puisi Melayu Tradisional Warisan Islam
Bahagian ini akan memfokuskan perbincangan kepada genre puisi yang paling popular, iaitu syair. Kata ‘syair’ berasal daripada kata ‘syi’r’ di dalam bahasa Arab yang bermaksud puisi.

Ciri-ciri syair ialah: 
              i.        Sejenis puisi naratif di dalam bahasa Melayu;
             ii.        Bentuknya berangkap-rangkap;
           iii.        Setiap rangkap yang biasa ada empat baris;
           iv.        Setiap baris mengandungi purata empat patah perkataan;
             v.        Setiap baris mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata;
           vi.        Rima hujungnya sama, iaitu a-a-a-a;
         vii.        Tidak mempunyai pembayang dan maksud seperti pantun, dan
        viii.        Setiap rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri kerana memerlukan lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan sesuatu idea.
Syair Agama telah diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri untuk menyampaikan hal-hal keagamaan. Contohnya ialah Syair Sidang Fakir dan Syair Perahu.
Jenis-jenis syair
Syair Romantik mempunyai struktur dan juga isinya yang sama dengan cerita dongeng. Contoh-contohnya ialah Syair Siti Zubaidah Perang China dan Syair Dandan Setia. Syair sejarah mengandungi kisah berunsur sejarah. Contoh-contohnya ialah Syair Singapura Terbakar dan Syair Sultan Maulana. Syair kiasan menggunakan watak binatang untuk menyedarkan khalayak melalui sindiran-sindiran tajam. Contohnya ialah Syair Burung Pungguk dan Syair Ikan Terubuk.
Peranan dan fungsi syair 
Ada kepada suatu hari,
Saya ke pasar berlari-lari,
Berjumpa dengan seekor nuri,
Sangatlah bijak ia berperi.

·         Syair berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pendidikan.

MARI KITA SEMAK SOLAT






17 KESALAHAN BERKAITAN SOLAT
"SEMBAHYANG adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya.Sembahyang perlu dipelihara sebaik-baiknya."

Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan sembahyang adalah:

1. Meninggalkan sembahyang.

Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.Allah berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?' Mereka menjawab: "(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat." (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir." (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).
2. Melengah-lengahkan solat.

Firman Allah bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar.Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan menukik empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).

3. Meninggalkan solat berjemaah.

Solat berjemaah adalah wajib kecuali bagi orang yang memiliki uzur yang dibolehkan syarak. Sabda Rasulullah bermaksud: "Siapa yang mendengarkan seruan azan tetapi tidak memenuhinya maka tidak ada solat baginya, kecuali kerana uzur." (Hadis riwayat Ibnu Majah).Allah berfirman, maksudnya: "Dan rukuklah bersama orang yang rukuk." (Surah al-Baqarah, ayat 43).Rasulullah bersabda: "Kemudian aku mengutus (utusan) kepada orang yang tidak solat berjemaah, hingga aku bakar rumah mereka." (Muttafaq Alaih).

4. Tidak thuma'ninah dalam solat

Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

5. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.

6. Mendahului atau menyelisihi imam.
Hal ini boleh menyebabkan solat batal.

Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk... " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
7. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat sebelum imam selesai dari salam kedua.

8. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.

Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim)."Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
9. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.

Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat.

10. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.

Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: "Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."

11. Melintas di depan orang yang sedang solat.

Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
12. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.

Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti imam yang sedang rukuk.
13. Tidak langsung mengikuti keadaan imam ketika masuk masjid.

Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itu sedang duduk, sujud atau lainnya.Rasulullah bersabda: "Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah!" (Hadis riwayat Abu Daud).

14. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

15. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.

Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata.Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

16. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


17. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.

Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki." (Muttafaq Alaih)



Sumber:
http://www.adap.com.my/info.php?id=33

Khamis, 2 Mei 2013

ASAL-USUL BAHASA MELAYU



Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645    Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.


Asal Usul Bangsa Melayu
Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.
Keturunannya orang Melayu di Malaysia
Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.




Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.
Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Sumber:
http://www.tutor.com.my/stpm/asal_usul_bahasa/asal_usul_bahasa_melayu.htm