Sistem pendidikan di Malaysia
telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil
daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan
Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang
terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita
telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.
Enrolmen murid pada peringkat pendidikan rendah, termasuk di
sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%)
berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar enrolmen pada peringkat menengah
rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah atas 82%. Peningkatan yang
signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan dalam pencapaian murid.
Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar
hampir sejagat sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat
secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada
93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.
Kerajaan juga telah memperuntukkan
secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk Kementerian
Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan guru, emolumen dan
pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang telah berhasil
meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah dan menengah,
termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang pencapaian
antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam peperiksaan
UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah berkurangan daripada
8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.
Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga pendidik dan kerajaan
melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi
sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan
daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi
dan Numerasi murid juga telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
Berdasarkan keputusan ujian LINUS 2011, kadar literasi murid kohort Tahun1
telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada
di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid kohort yang
sama telah
meningkat daripada 87% pada tahun
2010 kepada 97% pada tahun 2011.
Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih para
guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian
murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi
yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan
penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu, sistem pendidikan di
negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam perlumbaan untuk menjadi
sistem yang terbaik di dunia.
Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita
perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada
peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang
penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara
maju. Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian
Programme for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia
berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.
Hal ini perlu diatasi segera
sekiranya negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan
menuju negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada
tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata.
Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan
dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.
PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025
BERTITIK tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran
telah memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan
Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk
mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil
oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah
dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah
diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian.
Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan
individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan
Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian
yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan
Tinggi Awam tempatan.
Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang
tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat satu lagi peristiwa penting
dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan
yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan
bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah
yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan
negara.
MATLAMAT DAN PENDEKATAN
KEMENTERIAN Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan
suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu
akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat
murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu
pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika
dan kerohanian, serta identiti nasional.
Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti
hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan
perkara tersebut ialah:
* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan
masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan kesediaan
murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan
sumber; dan
* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem
penyampaian pendidikan.
Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah
mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang
diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini
merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang
lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada
perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan
amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada
Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid
dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa
maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan
berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi
yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju.
Sehubungan dengan itu, Kementerian
akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian
juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan
kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh
menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.
Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian
akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain
pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi
menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima
tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding
enam tahun.
Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan
dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi,
seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun
2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran
aras tinggi.
Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan
daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai
inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk
memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.
Untuk menjamin akses pendidikan
berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan
meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan
keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang
upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka
juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.
Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan
AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa
Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini,
Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa
Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru
dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge
Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti
latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan
diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan
memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah
menengah.
Bagi memantapkan penguasaan bahasa
Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum
Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis
kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di
sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu,
Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan
seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau
bahasa antarabangsa yang lain.
Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga
(3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi
dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai
murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa
yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk
dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan
jitu.
Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini,
kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen
Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan
Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan
(role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya,
Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai
teras dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain.
Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi
pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga
akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama
apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan
1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.
Segala langkah yang akan diambil
ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti.
Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4),
iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai
profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar
peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan
keutamaan.
Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke
latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok
pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang
sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan
guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di
sekolah.
Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan
menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal
ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula
daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang
daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara
time-based yang baru.
Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan
kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran;
memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran
dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan
yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.
eterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5)
ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah.
Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan
guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan
penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian
juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah
luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan
prestasi sekolah.
Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya
kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi
sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu
mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan
keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program
Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan
Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners
atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para
jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah
berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu
projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013,
manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014.
Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian
akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan
pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah
Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan
prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan
diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti berdasarkan prestasi yang
ditunjukkan.
Dalam dunia yang pantas berkembang
hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang
besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan
melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT) bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet
dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua
10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun
2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada
rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan
pembelajaran secara interaktif.
Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN
(8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian
Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi
bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD,
iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini,
PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara
kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara
langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan
mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala
JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala
perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan
pelaksana di peringkat bawah.
Menyedari hakikat bahawa proses
pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi
aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti
dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9),
iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor
swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan
Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di
sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha
membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak
masing-masing.
Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas
daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru
mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan komuniti,
kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang
tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan
kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur.
Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan
kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara
semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada
KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.
Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH
(10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan
keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak
rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke
arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga
akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang
paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu
yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang
pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang
tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan
oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan
ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan
melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi
memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor
pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen
komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan
meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan
inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang
jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang
ditetapkan.
Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama
pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan dalam
kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan
daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.
Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020,
akan berlaku perubahan
struktur sistem pendidikan negara
yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar
menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur
semula untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang
Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk
memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini.
Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga
2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan
prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada
usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada
model pengurusan berasaskan sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah
berdasarkan inovasi dalam pengajaran.
Keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada
peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya kesemua 11 anjakan yang
terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh
13 tahun akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem
pendidikan negara, iaitu daripada pendidikan yang berfokuskan akses kepada
pendidikan yang berfokuskan kualiti.
Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di
Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI
masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan.
KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah,
untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.
Selain itu, Kementerian akan
mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu
pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan,
menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak
berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang
ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan
berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun
sektor swasta.
Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada
laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan
sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan
strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai
Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan
dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.
Inilah julung-julung kali dalam sejarah negara kita, satu pelan
pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara
telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa sehingga kini, lebih
90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri jelajah
Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambilkira dalam Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan yang saya bentangkan pada hari ini.
Selepas ini, kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk
membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan penjelasan
dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan. Saya percaya, apabila
pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada bulan
Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat
dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan
Nasional
bawah kepimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi
Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.-13/9/2012
*Petikan ucapan Tan Sri
Muhyiddin Yassin ketika membentangkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 baru-baru ini.
http://agendadaily.com/Analisa/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan