Pelan
Pembangunan Pendidikan (PPP) dari 2013-2025.
Sebagai gantian kepada Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh
YAB Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007.
Muhyiddin menjelaskan semasa
pembentangan pelan PPP bahawa ia dirangka menerusi jelajah dialog di seluruh
negara dimana 7,039 syor diterima dan 12,000 peserta ambil bahagian.
Selain itu sebanyak 156 memorendum
diterima dari pelbagai individu dan pertubuhan.
Muhyiddin menyifatkan PPP adalah
satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan harapan rakyat
terhadap sistem pendidikan negara.
Menurut beliau pelan itu sasarkan enam
aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin,
kemahiran dwi-bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Pelan ini berbeza daripada
laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Kementerian dimaklumkan oleh Panel
Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan
ini telah dilakukan dengan amat teliti dan kualiti analisanya menepati standard
antarabangsa.
Sebelas anjakan yang digariskan
kementerian ialah:
1. Menyediakan kesamarataan
akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa:
Kementerian akan melancarkan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian akan menimbang pindaan kepada
peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan
jadual anjal. Selain itu Kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan
laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana, termasuklah
membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah
dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan menamatkan sekolah
rendah dalam masa lima tahun, berbanding enam tahun. Peperiksaan UPSR pada 2016
akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
2. Memastikan setiap murid
profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris:
Kementerian akan meningkatkan kemahiran
Bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus
Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai
standard ditetapkan akan mengikuti latihan intensif. Modul Sastera Inggeris
akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan
Bahasa Malaysia pula, Kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia
yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua sekolah jenis kebangsaan.
Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah
kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan menggalakkan murid
mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil, Arab serta bahasa
ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.
3. Melahirkan rakyat Malaysia
yang menghayati nilai:
Bagi memupuk semangat patriotisme di
kalangan murid dalam usaha membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu,
Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen
Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga
disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role-play),
simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan kecil. Bagi murid bukan
Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua
agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji membolehkan murid bukan
Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar.
4. Meningkatkan kualiti guru dan
menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan:
Kementerian akan mengetatkan syarat
kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas dari
kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Bagi guru-guru yang
sudah ada dalam sistem, Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya
mereka. Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula
daripada Gred DG14 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang
daripada 25 tahun.
5. Memastikan pemimpin
berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah:
Kementerian akan memperkenalkan kriteria
pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi serta memperkukuhkan
proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai 2013. Kementerian
juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah
luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar.
6. Mengupaya JPN, PPD dan
sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan:
Kementerian akan menempatkan Jurulatih
Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih
Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (Si-Partners) secara sepenuh masa di
Pejabat Pelajaran Daerah. Jurulatih-jurulatih berkenaan akan memberikan
bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah. Satu projek perintis
akan dilaksanakan di Sabah dan Kedah mulai Januari 2013 sementara perlaksanaan
di seluruh negara bermula Januari 2014.
7. Memanfaatkan ICT bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran:
Kementerian akan meningkatkan akses
internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui perlaksanaan 1BestariNet
bagi semua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung
2013. Dalam masa terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G
di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk perlaksanaan pembelajaran
secara interaktif.
8. Mentransformasi kebolehan dan
keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran:
Struktur organisasi Kementerian akan
disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih dan lebih ramai tenaga
kerja akan ditempatkan di PPD yang akan terlibat secara langsung dalam memantau
dan mengurus prestasi sekolah.
9. Memperluaskan jalinan
kerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta:
Kementerian akan memperluaskan
capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS)untuk
membolehkan ibubapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Kementerian
juga akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025 dan
turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai
penganjur.
10. Memaksimumkan pulangan bagi
setiap ringgit yang dibelanjakan:
Kementerian akan mengaitkan setiap
program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan
merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun, Kementerian akan
meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberi keutamaan
kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
11. Meningkatkan Ketelusan
akauntabiliti awam:
Semua pihak berkepentingan akan
mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif
yang dilaksanakan oleh Kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan
sasaran dan inisiatif pelan ini akan ditertbitkan utntuk tatapan umum mulai
2013.
Kesimpulan:
Sekiranya semua 11 anjakan dalam pelan
ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang,
Malaysia akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara,
iaitu daripada sistem yang berfokuskan akses, kepada pendidikan yang
berfokuskan kualiti. Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian
Pendidikanuntuk memacu perlaksanaan pelan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan