DALAM kegiatan berbahasa, lumrah
didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh
bilangan. Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak
menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan
menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami
maksud ayat.
Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:
1. Lima
pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.
2. Beberapa
jalan di kawasan itu ditenggelami air.
Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan
menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh
di hadapan kata nama pendatang(ayat 1) dan jalan (ayat
2). Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang
pelbagai. Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak
khusus. Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan ‘enam’ itu boleh
jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah
gerombolan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan
untuk menyampaikan maklumat yang tepat.
Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara. Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama. Pendeta Za’ba menamakan penjodoh bilangan sebagai “pemadan bilangan”.
Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara
tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup. Dalam bahasa Melayu,
kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan
manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh
bilangan bukan manusia.
Penjodoh bilangan untuk
manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti.
Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.
Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan,
pasukan dan gerombolan. Beberapa ayat contoh yang
menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:
1. Seorang pelancong
asing sedang makan di restoran itu.
2. Enam orang kanak-kanak
tadika bermain di padang permainan.
3. Beberapa kumpulan sukarelawan
telah berangkat sebentar tadi.
4. Dua pasukan kriket
di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.
5. Segerombolan pengganas
telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.
Penjodoh bilangan gerombolan digunakan
untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah,
penjarah, penyamun dan seumpamanya.
Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangankeping, seperti sekeping hati. Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain. Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti. Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:
Saya membeli dua ekor itik
bemban.
1. Beberapa ekor kerbau
balar berkubang di sawah.
10. Pemburu itu terserempak
dengan sekawan gajah.
Penjodoh bilangan ekor digunakan
untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak
kira binatang itu mempunyai ekor
atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi
tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.
Binatang yang menerima penjodoh
bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang
bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus,
kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan. Kita tidak
menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau
beberapa ekorkuman.
Jenis benda bernyawa bukan manusia
yang kedua, iaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan,
iblis, bidadari dan bunian. Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk
jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.
Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk
tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya
ialah orang.
11. Tujuh orang bidadari
telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.
12. Orang kampung mengatakan
Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.
Demikian huraian berkenaan
dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup. Dalam siaran
akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.
|
http://www.adap.com.my/info.php?id=1196
Penjodoh Bilangan (2)
|
DALAM tulisan yang lalu,
telah dibincangkan tentang penjodoh bilangan bagi benda bernyawa, iaitu
manusia dan bukan manusia. Telah diketahui juga bahawa penjodoh
bilangan untuk benda bernyawa dan bukan bernyawa berdasarkan pada jumlah
bilangan, sama ada jumlah yang bersifat individu atau jumlah kuantiti.
Dalam huraian yang lalu juga telah
dijelaskan bahawa penjodoh bilangan untuk manusia ialah orang sekiranya
bilangan individu (seorang budak lelaki, empat orang budak
perempuan) manakalakumpulan, pasukan dan gerombolan untuk
bilangan kuantiti (beberapa kumpulan pelancong, dua pasukan bola
jaring, segerombolan samseng).
Dalam tulisan kali ini, akan
dihuraikan penjodoh bilangan untuk benda tidak bernyawa pula. Benda
tidak bernyawa ialah benda dan tumbuh-tumbuhan. Penjodoh bilangan untuk
benda lazimnya berdasarkan bentuk dan saiz benda itu. Pelbagai bentuk benda
dapat kita temukan. Ada benda yang berbentuk panjang (pensel, pen, rokok,
tali) dan nipis (kertas, pisau, mercun); ada benda yang bersaiz besar
(rumah, kereta, almari, meja), sederhana (batu, permata, daging), kecil
(manik, mutiara, pasir, kacang) dan lain-lain.
Selain itu, terdapat juga
benda yang berbentuk bulat atau melengkung (cincin, mata kail, kerongsang,
subang). Ada juga penentuan penjodoh bilangan untuk benda didasarkan pada
ukuran benda yang diisi ke dalam sesuatu bekas. Jika benda itu diisi ke dalam
botol atau cawan, dinamakan sebotol kicap, secawan air, sepiring kuih dan
sebagainya.
Bagi benda-benda yang bersaiz
besar, sama ada sederhana besar atau terlalu besar, penjodoh bilangan
yang digunakan ialah buah. Kata nama yang menerima penjodoh
bilangan ini termasuklah bangunan, kenderaan, perabot, alam dan alat
tulis. Contoh: tigabuah rumah, dua buah gunung,
sebuah motosikal, beberapa buahkomputer, empat buah buku,
dan sebuah meja.
Ketul ialah penjodoh bilangan
untuk benda yang saiznya sederhana. Biasanya benda ini pepejal yang keras.
Misalnya: seketul batu, duaketul daging, seketul tanah
(keras). Benda yang kecil dan halus pula seperti permata, berlian,
mutiara, pasir, biji benih, manik, butang, kacang, bintang dan lain-lain
seumpamanya dijodohkan dengan penjodoh bilangan butir. Contoh:
sebutir biji sawi, dua butirpermata, tiga butir butang,
beberapa butir bintang. Harus diingat bahawa bintang
sebenarnya planet yang besar tetapi dipersepsikan dengan mata kasar bintang
ini benda yang kecil di langit.
Bagi benda yang berbentuk panjang,
seperti pensel, pembaris, tiang, sungai, jalan, kayu (sama ada kayu balak
yang besar ataupun kayu ranting), rokok, besi paip dan lain-lain, penjodoh
bilangnnya ialah batang.
Contoh: sebatang tiang, sebatang sungai, dua batang besi
paip, beberapa batang rokok dan beberapa batang pembaris
kayu.
Selain batang,
perkataan laras dan pucuk digunakan sebagai
penjodoh bilangan bagi benda yang panjang dan lurus. Ghalibnya, penjodoh
bilangan laras dan pucuk ini digunakan
untuk senjata api. Misalnya: sepucuk pistol, selaras senapang,
sepucuk meriam. Bagi benda yang asalnya panjang tetapi
menjadi pendek seperti kayu atau rokok yang sebahagian (separuh)
dimakan api, penjodoh bilangan yang sesuai untuknya ialah puntung.
Contoh: sepuntungkayu api, beberapa puntung rokok.
Penjodoh bilangan lain untuk benda
yang panjang ialah urat dan utas. Urat dan utas digunakan
bagi benda panjang yang lembut yang boleh dilentur seperti tali, rambut,
benang dan barang kemas. Contoh: seutas tali, beberapa urat rambut,
tiga urat benang, beberapa utas rantai.
Bagi benda yang ukurannya tidak berapa panjang seperti payung, bunga
(berserta tangkainya) digunakan penjodoh bilangan kaki.
Misalnya: sekaki bunga, beberapa kakipayung.
Seterusnya, penjodoh bilangan
untuk benda yang nipis, sama ada lebar atau tidak, seperti kertas, rambut,
rumput, lalang, daun, penjodoh bilangannya ialah helai, lembar, papan, bilah dan pucuk.
Contoh: sehelai rambut, dua helai kertas,
beberapa helai rumput, selembar benang. Tentang
rambut dan benang, penjodoh bilangan lain yang sesuai baginya ialah urat (seurat rambut,
seurat benang).
Bilah digunakan untuk benda nipis
dan tajam seperti pisau, parang, sembilu, kapak, mata lembing, pedang, keris,
gergaji dan seumpamanya. Contoh: sebilah pisau, dua bilah kapak,
beberapabilah gergaji. Bagi gergaji berantai (chain-saw)
sebagai satu unit secara keseluruhan, tidak dijodohkan dengan penjodoh
bilangan bilahkerana bentuknya tidak nipis. Penjodoh bilangan
yang sesuai baginya ialah buah (sebuah gergaji
berantai). Tetapi matanya yang nipis dan tajam itu tetaplah bilah penjodoh
bilangannya.
Papan digunakan untuk benda yang
tidak berapa nipis dan tidak berapa besar. Biasanya, bentuk benda ini seperti
rupa papan yang rata. Contoh: sepapan petai, dua papan mercun,
beberapa papan pil.Pucuk digunakan juga untuk
benda yang nipis dan tidak berapa lebar seperti surat (sepucuk surat).
Benda yang berbentuk lebar, sama
ada nipis, tebal, besar atau kecil, penjodoh bilangan yang sesuai untuknya
ialah keping, bidang, piak,mengkawan dan naskhah.
Benda yang menggunakan penjodoh bilangan keping ialah kertas,
kad, duit syiling dan papan. Contoh: sekeping duit syiling,
beberapa keping kad, sekeping tanah. Harus
diingat, selain keping, bidang juga digunakan
untuk tanah.
Bagi benda yang bersaiz agak
kecil, bulat, melengkung atau berlubang di tengahnya seperti cincin dan mata
kail, penjodoh bilangannya ialah bentuk. Misalnya: sebentuk cincin,
tiga bentuksubang, beberapa bentuk mata kail.
Penjodoh bilangan piak dan mengkawan sudah
jarang-jarang digunakan. Piak ialah penjodoh bilangan
bagi buah pinang yang dikacip. Buah pinang yang telah dikacip berbentuk
lebar, nipis dan bersaiz kecil. Oleh sebab bentuknya begitu, kita katakan sepiakpinang,
dua piak pinang. Mengkawan ialah penjodoh
bilangan untuk kepingan atap rumbia. Penjodoh bilangan ini kini digantikan
dengankeping. Oleh itu, lima mengkawan atap
rumbia kita katakan juga lima keping atap rumbia.
Begitulah beberapa penjodoh
bilangan bagi benda-benda yang pelbagai bentuk. Setiap benda tersebut ada
penjodoh bilangan yang sesuai untuknya. Apabila kita menyatakan bilangan
benda-benda berkenaan, wajarlah kita menggunakan penjodoh bilangan yang
sesuai dengannya.
http://www.adap.com.my/info.php?id=1207 |
Rumpun
BalasPadam