ILMU umpama air yang mengalir dari gunung ke lembah,tadahlah dengan hati yang merendah kepada ALLAH

Rabu, 27 Mac 2013

SABAR SIFAT MULIA HADAPI UJIAN


Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat

IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan 
kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur.

Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah tidak tercapai melainkan dengan iman.

Allah berfirman yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)
Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.
Allah memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.

Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah tanpa batas kepada orang yang sabar.

Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah, Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.
Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah, sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan sabar menghadapi ujian Allah. Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah tidak menafikan sifat sabar.
Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya'kub ketika baginda berkata:

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86).
Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah, manakala bersabar terhadap ujian Allah seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah.

Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut.
Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh.


Sumber daripada;
http://www.adap.com.my/info.php?id=12

Rabu, 20 Mac 2013

RAHSIA ALAM


                      KHASIAT  ROSELLE


ROSELLE atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa L. yang dikatakan berasal dari Sudan, Afrika ini merupakan tumbuhan dalam keluarga bunga raya tetapi masih ramai yg belum benar-benar mengetahui khasiatnya. Kebanyakan semua bahagian Bunga Roselle boleh digunakan antaranya bunga, daun, kelopak buah, biji dan akar
Menurut satu artikel mengatakan bahawa Jus Roselle mengandungi Vitamin C sebanyak 9x ganda jk dibandingkan Oren, 3x ganda berbanding Anggur dan 2.5x ganda berbanding Blackcurrant.
Antara Kegunaan Bunga Roselle adalah seperti berikut :-
1. Batuk
2. Merawat demam
3. Darah tinggi
~ Kelopak buahnya dibuat ulam.
4. Merawat ketagihan arak(alcohol)
5. Hepatitis.
6. Menurunkan kandungan kolestrol dan lemak dalam darah
7. Membantu melancarkan pengaliran darah
8. Melawaskan pembuangan air besar
~Kelopak buah diblend dibuat jus dan diminum
9. Mengurangkan penyakit ulser perut
~Amalan meminum rebusan daunnya dapat mengurangkan penyakit ini
~ akar tunjang rozel direbus menjadi segelas air ditambah air perahan kunyit,diminum bagi ulser yang kronik
10. Melancarkan pembuangan air kecil dan mengubati kencing kotor
~Bunga rozel direbus dengan air dan diminum air rebusan tersebut.
11. Menyejukkan badan dan meningkatkan pengeluaran peluh.
~Biji rozel dibuat jus dan diminum.
12. Merawat cirit birit dan berak berdarah.
13. Membantu meningkatkan kesihatan mata dan mencegah rabun malam
~Daun dibuat ulam
14. Menghilangkan parut dan mengubati luka
15. Kelopak buahnya dibuat jus, kordial dan bahan campuran dalam pembuatan biskut dan kek.
16. Daunnya boleh dijadikan campuran dalam masakan seperti tom yam dan sup.



 KHASIAT BUAH KURMA




Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :
Tafsirnya : "Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.
(Surah Maryam : 25)
Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak  dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :
"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.
(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barang siapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.
Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :
Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.
Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.
Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

http://permai1.tripod.com/kurma2.html




Allah menyebut buah delima (rumman) sebanyak 3 kali di dalam ayat-Nya untuk menunjukkan betapa hebatnya penciptaan Allah itu dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Mengapa begitu sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai anugerah kepada makhlukNya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik sebiji buah delima?

Jika ditinjau, delima yang berasal dari negara Iran dikenali sebagai pinica granatum dalam istilah botani juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Pada zaman Nabi Musa a.s. lagi, buah delima yang bermutu sudah ditanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah.

Manakala dalam agama Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima menjadi satu simbol kesuburan, rezeki yang melimpah ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang diberkati.

Namun, dalam Islam, buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat di dalam syurga yang dikurniakan Allah sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang menunjukkan tanda- tanda kekuasaan-Nya sebagaimana yang termaktub dalam firman-Nya di dalam surah al An'am ayat 99 dan ayat 141.

Al Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan Allah di mana ia terbentuk seperti kantung-kantung kecil yang segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian atasnya tipis yang kelihatan seperti bukit. Kemasan yang tersusun rapi biji buah tersebut seakan disusun oleh manusia serta dibalut dengan kulit yang tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut.

Hikmah penciptaan buah delima dengan percaturan yang sebegitu rupa mempunyai nilai kehebatan tersendiri. Seandainya ia tidak dilapisi dengan lapisan yang halus itu, sudah tentu sari makanan tidak dapat sampai kepada biji buah delima tersebut. Dengan mendapat sari makanan itulah, buah delima mempunyai rasa manis tetapi akarnya sendiri mempunyai rasa yang amat pahit.

Lapisan yang membahagi ruang biji buah delima berfungsi untuk memelihara buahnya dan seluruh biji buah tersebut dilitupi dengan kulit yang keras tetapi rasanya agak pahit adalah untuk menjaganya bebas daripada segala hama. Sorotan tentang kejadian ini menunjukkan kepada kita betapa setiap kejadian yang Allah ciptakan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dari sudut pemakanan, buah delima amat kaya dengan sodium dan mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Manakala zat protein dan lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai nilai pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.

Ternyata buah delima mempunyai banyak manfaat untuk manusia sama ada sebagai buah-buahan mahupun dijadikan sebagai ubat penawar. Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan lembap, oleh sebab itu ia 
amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru- paru kerana ia akan melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali dan Abu Nu'aim yang bermaksud: "Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman."

Jus buah delima dapat memberikan zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan dan ia dapat dihadam dengan cepat kerana sifatnya yang ringan dan akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Oleh sebab itu buah delima tidak disarankan kepada mereka yang menghidap demam. Ia juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit birit, anemia, tekanan darah tinggi dan atritis.

Di samping itu, buah delima dapat menguatkan jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot. Oleh kerana itulah, ia mampu menghilangkan rasa keletihan. Di dalam perubatan homeopati pula, buah delima disarankan untuk mengubat cirit birit, sakit telinga dan kurang lawas penghadaman.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bukti yang menyatakan bahagian pokok delima banyak kegunaan dan faedahnya. Dan ini telah diakui dalam perubatan Melayu seperti ramuan jamu daripada pokok delima sebagai ubat cacing. Ramuan ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh masyarakat tradisional Melayu. Cuma yang mungkin, ilmu perubatan Melayu tradisional ini tidak terus diamalkan dan tidak langsung sampai kepada generasi baru sekarang dan ia seolah-olah dibiarkan begitu sahaja.

Bahagian kulit buah delima pula mengandungi sejenis alkaloid yang boleh mengawal beberapa cenis cacing seperti cacing pita yang mendiami perut manusia. Rasanya yang pahit tidak sesuai untuk dimakan tidak seperti bijinya yang manis, tetapi manfaat daripada rasa pahit tersebut ialah dapat menghapuskan cacing pita dalam perut manusia.

Kulitnya yang tebal pula bertanggungjawab melindungi buah delima supaya dapat disimpan dengan mutu yang baik. Jika diselusuri faedah dan kepentingan kulit serta batang buah delima, ia dapat digunakan untuk melembut dan menguningkan kulit lembu dan kambing dalam industri barangan kulit di Morocco dan Syria. Ini kerana kulitnya mengandungi punicotannic acid yang agak tinggi iaitu sebanyak 22%. Manakala bunga buah delima pula mempunyai nilai yang amat tinggi dalam tujuan perubatan kerana ia dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.

Justeru, kemanfaatan buah delima tidak dapat disangkal lagi kerana ia bukanlah hanya sekadar sebiji buah yang mengandungi banyak khasiat untuk dimakan tetapi keseluruhan penciptaan pokok buah delima memberi manfaat kepada umat manusia. Sekaligus ia menggambarkan kepada kita, betapa hebatnya kuasa Allah Taala.

Renungkanlah dan perhatikanlah, bagaimana dahan tempat buah delima tergantung yang diciptakan-Nya dengan rapi dan kuat serta tidak gugur buahnya sebelum sampai waktunya. Ini menunjukkan betapa setiap kejadian yang Allah cipta mempunyai rahsia dan keistimewaan tersendiri agar manusia mendapat manfaat dan menilai kurniaan tersebut. 







Isnin, 18 Mac 2013

PANTUN NASIHAT


PANTUN NASIHAT (1)
Tumbuh melata si pokok tebu,
Pergi pasar membeli daging;
Banyak harta tak ada ilmu,
Bagai rumah tidak berdinding.

PANTUN NASIHAT (2)
Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.

PANTUN NASIHAT (3)
Kemumu di tengah pekan,
Dihembus angin jatuh ke bawah;
Jika ilmu tidak diamalkan,
Bagai pohon tidak berbuah.

PANTUN NASIHAT (4)
Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa ;
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.



PANTUN NASIHAT (5)
Daun sirih ulam Cik Da,
Makan sekapur lalu mati;
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.

PANTUN NASIHAT (6)
Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.

PANTUN NASIHAT (7)
Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan;
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.

PANTUN NASIHAT (8)
Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.



PANTUN NASIHAT (9)
Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana;
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan berjaya.

PANTUN NASIHAT (10)
Buah cempedak bentuknya bujur,
Sangat disukai oleh semua;
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.

PANTUN NASIHAT (11)
Kayu bakar dibuat arang,
Arang dibakar memanaskan diri;
Jangan mudah menyalahkan orang,
Cermin muka lihat sendiri .

PANTUN NASIHAT (12)
Selasih tumbuh di tepi telaga,
Selasih dimakan si anak kuda;
Kasih ibu membawa ke syurga ,
Kasih saudara masa berada.



PANTUN NASIHAT (13)
Kapal Anjiman belayar lesu,
Nampak dari Kuala Aceh;
Rosak iman kerana nafsu,
Rosak hati kerana kasih.

PANTUN NASIHAT (14)
Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pangkal kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada ibu dan juga bapa.

PANTUN NASIHAT (15)
Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak ditaati,
Mana yang dapat jangan dilupa.

MASALAH TATABAHASA :PENJODOH BILANGAN 1



DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.  Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.

 Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

1.     Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.
2.     Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.

Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang(ayat 1) dan jalan (ayat 2).  Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai.  Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.  Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan ‘enam’ itu boleh  jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.  Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.

 Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara. Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama. Pendeta Za’ba menamakan penjodoh bilangan sebagai “pemadan bilangan”.

Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.  Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia.  Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.

 Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti.  Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.  Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan. Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:

1.     Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.
2.     Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.
3.     Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.
4.     Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.
5.     Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.

 Organ di  dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangankeping, seperti sekeping hati.

 Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.  Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.  Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:
 Saya membeli dua ekor itik bemban.
1.     Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.
10.  Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

 Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak
kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak.  Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat.  Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.  Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekorkuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk  asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.  Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini  kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat. Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia.  Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan  penjodoh bilangannya ialah orang

11.  Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.
12.  Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

 Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup.  Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.

http://www.adap.com.my/info.php?id=1196 


Penjodoh Bilangan (2)

DALAM tulisan yang lalu, telah dibincangkan tentang penjodoh bilangan bagi benda bernyawa,   iaitu manusia dan bukan manusia.  Telah diketahui juga bahawa penjodoh bilangan untuk benda bernyawa dan bukan bernyawa berdasarkan pada jumlah bilangan, sama ada jumlah yang bersifat individu atau jumlah kuantiti.

Dalam huraian yang lalu juga telah dijelaskan bahawa penjodoh bilangan untuk manusia ialah orang sekiranya bilangan individu (seorang budak lelaki, empat orang budak perempuan) manakalakumpulan, pasukan dan gerombolan untuk bilangan kuantiti (beberapa kumpulan pelancong, dua pasukan bola jaring, segerombolan samseng).

Dalam tulisan kali ini, akan dihuraikan penjodoh bilangan untuk benda tidak bernyawa pula.  Benda tidak bernyawa ialah benda dan tumbuh-tumbuhan.  Penjodoh bilangan untuk benda lazimnya berdasarkan bentuk dan saiz benda itu. Pelbagai bentuk benda dapat kita temukan. Ada benda yang berbentuk panjang (pensel, pen, rokok, tali) dan  nipis (kertas, pisau, mercun); ada benda yang bersaiz besar (rumah, kereta, almari, meja), sederhana (batu, permata, daging),  kecil (manik, mutiara, pasir, kacang) dan lain-lain.

 Selain itu, terdapat juga benda yang berbentuk bulat atau melengkung (cincin, mata kail, kerongsang, subang). Ada juga penentuan penjodoh bilangan untuk benda didasarkan pada ukuran benda yang diisi ke dalam sesuatu bekas. Jika benda itu diisi ke dalam botol atau cawan, dinamakan sebotol kicap, secawan air, sepiring kuih dan sebagainya.
Bagi benda-benda yang bersaiz besar, sama ada sederhana besar atau terlalu besar,  penjodoh bilangan yang digunakan ialah buah.  Kata nama yang menerima penjodoh bilangan ini termasuklah bangunan, kenderaan, perabot, alam dan alat tulis.  Contoh: tigabuah rumah, dua buah gunung, sebuah motosikal, beberapa buahkomputer, empat buah buku, dan sebuah meja.
Ketul ialah penjodoh bilangan untuk benda yang saiznya sederhana. Biasanya benda ini pepejal yang keras. Misalnya: seketul batu, duaketul daging, seketul tanah (keras).  Benda yang kecil dan halus pula seperti permata, berlian, mutiara, pasir, biji benih, manik, butang, kacang, bintang dan lain-lain seumpamanya dijodohkan dengan penjodoh bilangan butirContoh: sebutir biji sawi, dua butirpermata, tiga butir butang, beberapa butir bintang.  Harus diingat bahawa bintang sebenarnya planet yang besar tetapi dipersepsikan dengan mata kasar bintang ini benda yang kecil di langit.

Bagi benda yang berbentuk panjang, seperti pensel, pembaris, tiang, sungai, jalan, kayu (sama ada kayu balak yang besar ataupun kayu ranting), rokok, besi paip dan lain-lain, penjodoh bilangnnya ialah batang. Contoh: sebatang tiang, sebatang sungai, dua batang besi paip, beberapa batang rokok dan beberapa batang pembaris kayu.

Selain batang, perkataan laras dan pucuk digunakan sebagai penjodoh bilangan bagi benda yang panjang dan lurus. Ghalibnya, penjodoh bilangan laras dan pucuk ini digunakan untuk senjata api. Misalnya: sepucuk pistol, selaras senapang, sepucuk meriam. Bagi benda yang asalnya panjang tetapi  menjadi pendek seperti kayu atau rokok yang sebahagian (separuh) dimakan api, penjodoh bilangan yang sesuai untuknya ialah puntung. Contoh: sepuntungkayu api, beberapa puntung rokok.

Penjodoh bilangan lain untuk benda yang panjang ialah urat dan utas.  Urat dan utas digunakan bagi benda panjang yang lembut yang boleh dilentur seperti tali, rambut, benang dan barang kemas. Contoh: seutas tali, beberapa urat rambut, tiga urat benang,  beberapa utas rantai. Bagi benda yang ukurannya tidak berapa panjang seperti payung, bunga (berserta tangkainya) digunakan penjodoh bilangan kaki.  Misalnya: sekaki bunga, beberapa kakipayung. 
Seterusnya, penjodoh bilangan untuk benda yang nipis, sama ada lebar atau tidak, seperti kertas, rambut, rumput, lalang, daun, penjodoh bilangannya ialah helai, lembar, papan, bilah dan pucuk.  Contoh: sehelai rambut, dua helai kertas, beberapa helai rumput, selembar benang. Tentang rambut dan benang, penjodoh bilangan lain yang sesuai baginya ialah urat (seurat rambut, seurat benang).

Bilah digunakan untuk benda nipis dan tajam seperti pisau, parang, sembilu, kapak, mata lembing, pedang, keris, gergaji dan seumpamanya. Contoh: sebilah pisau, dua bilah kapak, beberapabilah gergaji. Bagi gergaji berantai (chain-saw) sebagai satu unit secara keseluruhan, tidak dijodohkan dengan penjodoh bilangan bilahkerana bentuknya tidak nipis. Penjodoh bilangan yang sesuai baginya ialah buah (sebuah gergaji berantai). Tetapi matanya yang nipis dan tajam itu tetaplah bilah penjodoh bilangannya.

Papan digunakan untuk benda yang tidak berapa nipis dan tidak berapa besar. Biasanya, bentuk benda ini seperti rupa papan yang rata. Contoh: sepapan petai, dua papan mercun, beberapa papan pil.Pucuk digunakan juga untuk benda yang nipis dan tidak berapa lebar seperti surat (sepucuk surat).

Benda yang berbentuk lebar, sama ada nipis, tebal, besar atau kecil, penjodoh bilangan yang sesuai untuknya ialah kepingbidangpiak,mengkawan dan naskhah. Benda yang menggunakan penjodoh bilangan keping ialah kertas, kad, duit syiling dan papan. Contoh: sekeping duit syiling, beberapa keping kad, sekeping tanah. Harus diingat, selain kepingbidang juga digunakan untuk tanah.

Bagi benda yang bersaiz agak kecil, bulat, melengkung atau berlubang di tengahnya seperti cincin dan mata kail, penjodoh bilangannya ialah  bentuk. Misalnya: sebentuk cincin, tiga bentuksubang, beberapa bentuk mata kail.

Penjodoh bilangan piak dan mengkawan sudah jarang-jarang digunakan.  Piak ialah penjodoh bilangan bagi buah pinang yang dikacip. Buah pinang yang telah dikacip berbentuk lebar, nipis dan bersaiz kecil. Oleh sebab bentuknya begitu, kita katakan sepiakpinang, dua piak pinang. Mengkawan ialah penjodoh bilangan untuk kepingan atap rumbia. Penjodoh bilangan ini kini digantikan dengankeping.  Oleh itu, lima mengkawan atap rumbia kita katakan juga lima keping atap rumbia.

Begitulah beberapa penjodoh bilangan bagi benda-benda yang pelbagai bentuk. Setiap benda tersebut ada penjodoh bilangan yang sesuai untuknya. Apabila kita menyatakan bilangan benda-benda berkenaan, wajarlah kita menggunakan penjodoh bilangan yang sesuai dengannya.

http://www.adap.com.my/info.php?id=1207